sukan

Komen Zii Jia selepas bungkus awal lagi tarik perhatian

Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui ketika ini prestasinya terumbang ambing menyebabkan dia bergelut untuk meraih keputusan positif di pentas antarabangsa.

Situasi terbabit terjadi pada penampilannya di Terbuka Singapura apabila tersingkir seawal pusingan pertama sekali gus terlepas untuk meraih gelaran pertama untuk musim ini.

Malah, nasib malang itu sudah menghantuinya sejak tujuh perlawanan lalu apabila terkeluar awal manakala dua kejohanan lain iaitu Seluruh England dan Terbuka Switzerland menyaksikannya terkandas di separuh akhir.

Tanpa berselindung, juara Asia tahun lalu itu seolah akur dengan nasibnya sambil menjelaskan prestasi merudum ketika berada di dalam gelanggang menyebabkan dia sukar untuk meraih kemenangan.

“Ya kalah lagi. Ini yang terbaik saya dapat lakukan dan inilah keputusannya, jadi saya perlu menerimanya. Kadang-kadang saya bermain sangat baik tetapi kadang-kadang saya beraksi terlalu buruk, ini masalah saya.

“Saya perlu fikir dengan lebih baik. Buat masa ini ia terlalu banyak bagi saya, jadi saya perlu lebih tenang,” katanya.

Sebelum itu, pemain berusia 25 tahun itu turun sebagai pilihan kelapan kejohanan namun gagal menumpaskan wakil dari China, Weng Hong Yang 22-20, 16-21, 21-19.

Pemain berasal dari Alor Setar, Kedah itu perlu menebus kekecewaannya dengan memastikan gelaran Terbuka Indonesia di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta bermula 13 Jun ini menjadi miliknya.

sumber:- HM

Begitupun, ia tidak mudah kerana Zii Jia perlu berdepan jaguh India, Lakhsya Sen di pusingan pertama sebelum bertemu Srikanth Kidambi (India) atau Lu Guangzu (China) pada pertemuan kedua kelak.