sukan

Aaron-Wooi Yik singkir regu Indonesia untuk ke suku akhir

BEREGU utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah menempah slot ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2023 selepas menewaskan wakil Indonesia hari ini.

Pada perlawanan pusingan kedua berlangsung di Stadium Tertutup Singapura itu, Aaron-Wooi Yik, juga pilihan ketiga kejohanan, mengambil masa 38 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-18, 21-17 ke atas Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.

Menanti gandingan negara itu di suku akhir membabitkan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang turut mara selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang, 21-14 dan 21-17.

Sementara itu, perjalanan satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, tersekat selepas tewas kepada wakil China, Liang Wei Keng-Wang Chang, dalam pertembungan tiga set.

Gandingan negara itu terlebih dahulu tewas set pertama 18-21 sebelum bangkit di set kedua 21-18, namun dinafikan kemaraan selepas tewas 13-21 di set penentuan.

sumber:- SH

Dalam pada itu, turut gagal mara ke suku akhir membabitkan perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, yang tewas di tangan pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn juga pilihan ketujuh kejohanan, 18-21, 24-22 dan 13-21 dalam perlawanan 66 minit. – Bernama