Zaquan Adha Dilantik Jadi Abang Long

Bekas ketua pasukan skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak kembali memperkuatkan jentera s3rangan pasukan Negeri Sembilan bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Zaquan turut dilantik sebagai ketua pasukan ( Abang Long Atas Padang) bermula musim 2021.

Zaquan memulakan karier bola sepak profesional bersama Negeri Sembilan dimana beliau bermula bersama skuad Sukma negeri tersebut.

Kembar kepada Aidil Zafuan itu memenangi pingat emas Sukma 2004 dan seterusnya membantu skuad Hobin Jang Hobin memenangi trofi Liga Super pada musim 2005/2006.

Zaquan terus memainkan peranan besar dalam zaman kegemilangan Negeri Sembilan dimana selain memenangi Liga Super, beliau membantu pasukan itu memenangi Piala Malaysia pada 2009 dan 2011 serta Piala FA pada 2010.

Kecemerlangan Zaquan bersama Negeri Sembilan turut membantu beliau memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik bagi musim 2006/2007 selain memenangi saingan Pesta Bola Merdeka pada 2007 dan pingat emas Sukan SEA 2009.

Bagi menghadapi saingan musim 2021, Negeri Sembilan bakal dikendalikan oleh K.Devan yang juga kembali mengendalikan pasukan sebanyak dua kali sebelum ini.