Zamsaham terkejut ranking semasa Malaysia

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menyifatkan skuad Malaysia tidak sepatutnya berada di kedudukan ke-153 dunia berdasarkan pembangunan dalam aspek bola sepak di negara ini.

Dalam luahan terbaharu menerusi akaun Facebook miliknya, Norizam berkata dengan pembangunan stadium serta pelbagai akademi bola sepak, sepatutnya ranking Malaysia semakin naik dan bukan semakin menurun.

Malah, beliau yang lebih dikenali sebagai Zamsaham mengakui terk3jut dengan kedudukan semasa skuad Malaysia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Sebab saya orang barulah saya terkejut kita berada pada Ranking ke 153! Bola Malaysia pada tahun 1993 berada pada World Ranking (ranking dunia) 75. Palestin mempunyai ranking yg lebih baik dari kita, Thailand dan Vietnam semakin maju ranking mereka.

Sukan bola sepak masih sukan no 1 rakyat Malaysia, tetapi ranking dunia kita sepatutnya semakin baik, bukan sebaliknya, katanya.

Sebelum ini, Zamsaham sudah mengkritik ranking skuad Harimau Malaya selepas muncul laporan bahawa Kelantan FC boleh dipotong mata oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana masalah tunggakan gaji.

Selain itu, beliau turut mengaku tidak bersetuju apabila ada pihak yang menyifatkan ranking skuad kebangsaan sebagai tidak penting.

Terkejut bila ada orang kata ranking tidak penting. Jika rating tidak penting, tidak perlulah Agoda, Booking.com buat ‘system rating’.

Ada rating hotel yang saya takeover (ambil alih) 4.8, maka nilai hotel itu saya beli pada harga murah. Kalau rating tinggi, 8 atau 9 contohnya kualiti biasa bagus dan nilai jualan juga tinggi, disitulah tawar menawar harga berlaku berdasarkan rating, ranking.

“Pada saya rating sangat penting. Sama sahaja dalam apa industri pun, termasuklah kekuatan ekonomi, penarafan hutang negara pun ada rating dan ranking. Maafkan saya sebab baru tahu ranking bola sepak Malaysia 153,” katanya.