Wan Zaharulnizam kembali bermain bersama pasukan baharu

Melaka United (MU) FC mengikat bekas pemain pertahanan kebangsaan, Khairul Helmi Johari dan pemain sayap lincah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria bagi memperkuatkan pasukan itu musim ini.

Majlis menandatangani kontrak dua pemain terbabit diadakan di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri di sini, hari ini. Ia turut membabitkan penyerang dari Montenegro, Stefan Nikolić.

Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kehadiran Khairul Helmi yang juga bekas kapten Kedah dan Wan Zaharulnizam dari Kelantan dan Nikolic bakal memperkasa pasukan berkenaan musim ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata Nikolic yang berhijrah dari kelab Bosnia Herzegovina, Krupa memiliki pengalaman luas beraksi bersama sejumlah kelab di beberapa negara Eropah seperti Serbia, Romania, Russia, Poland, Croatia dan Bosnia.

Malah di peringkat antarabangsa, pemain itu pernah membarisi skuad kebangsaan Montenegro di peringkat bawah 19 dan 21 tahun dengan MUFC menjadi kelab pertama pemain ini beraksi dalam Liga Malaysia dan Asia Tenggara.

“Saya mengharapkan Nikolić pantas menyesuaikan diri dengan cuaca di negara ini dan corak permainan dalam Liga Malaysia. Pengalaman yang dimiliki striker ini mampu membantu MUFC melakar sesuatu atau sekurang-kurangnya memperbaiki pencapaian musim lalu,” katanya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri dan jurulatih pasukan, Zainal Abidin Hassan.