Tidak Sampai RM30 Juta Tapi Lebih Baik

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hari ini mengumumkan karya ciptaan seorang penyokong tempatan, Ku Basri Ku Halim dipilih sebagai logo pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata logo berkenaan dipilih daripada 900 penyertaan diterima pihaknya sebelum ini dengan pemenangnya menerima hadiah sebanyak RM5,000.

Dalam isu pemilihan logo, sudah tentu kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Namun, kita telah melaksanakan pemilihan dan jawatankuasa bersetuju logo ini adalah yang terbaik, katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Darulaman FC, Khamal Idris Ali dan Naib Presiden KFA, Radhi Mat Din.

Selain memaparkan imej bola dan bunga alamanda yang sinonim dengan logo lama skuad Hijau Kuning, logo terbabit turut memaparkan perkataan ‘Biar Jasa Jadi Kenangan’ yang dililhamkan bekas pengurus l3genda Kedah, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil.

Muhammad Sanusi turut memaklumkan senarai pemain pasukan KDA FC akan diumumkan dalam satu majlis memperkenalkan skuad pada 15 Januari ini.

Katanya, pasukan musim depan itu dijangka tampil dengan aksi lebih mantap berbanding musim ini, namun pembiayaannya dijangka lebih kecil susulan penyusunan semula gaji dan elaun pemain.

Kita menetapkan s@saran untuk menjadi pasukan terkuat bagi memenangi semua pertandingan dalam Liga Malaysia.

Kita akan pastikan peruntukan pasukan tidaklah sampai ke angka RM30 juta seperti musim ini, tetapi itu tidak bermakna peruntukan diletak terlalu kecil kerana kita tetap mempunyai matlamat untuk menyediakan pasukan terkuat, katanya