Suzuki Mahu Liga Super

KUALA TERENGGANU: Selepas membantu pasukan Terengganu FC II (TFC II) menghuni di tangga kedua Liga Perdana musim ini, striker import, Bruno Suzuki mengidam untuk beraksi dalam pentas Liga Super musim depan.

Kapten skuad The Turtles berusia 30 tahun itu bagaimanapun mengakui setakat ini belum ada lagi sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan.

Malah pemain kelahiran Brazil yang mendapat taraf kerakyatan Jepun itu juga memaklumkan belum mendapat lampu hijau daripada pasukannya itu sama ada khidmatnya masih diperlukan lagi.

Kontrak saya bersama pasukan TFC II akan berakhir pada 30 November. Setakat ini belum ada sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan Liga Super ataupun Liga Perdana.

Tapi impian saya jika diberi peluang sudah pasti mahu bermain dalam saingan Liga Super yang lebih mencabar, namun jika dapat tawaran daripada pasukan Liga Perdana, saya akur, katanya.

Suzuki yang pernah beraksi dalam saingan Liga Singapura mula bermain dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) pada 2017 dengan menyarung jersi pasukan Liga Perdana, Negeri Sembilan sebelum setahun kemudian dipikat TFC II sehingga musim ini.

Ketika ditanya adakah dia berpuas hati prestasi pasukannya mengakhiri liga di kelompok tiga terbaik walaupun sasaran awal untuk menjuarai Liga Perdana tidak tercapai, Suzuki akui gembira.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *