Sumareh tak sabar nak julang trofi

Bintang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamadou Sumareh menzahirkan ucapan terima kasih kepada pemilik kelab itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Penghargaan itu dibuat Sumareh menerusi akaun Instagram miliknya semalam selepas kelabnya itu mengesahkan pemain naturalisasi pertama negara itu akan menyarung jersi skuad JDT.

Dalam mesej itu juga, Sumareh menjelaskan betapa dia teruja untuk meletakkan segala ‘bunyi bising’ mengenai dirinya di belakang dan memulakan sesuatu yang baharu bersama JDT.

Malah, dia juga tidak sabar untuk menyumbang sesuatu dan berharap dapat membantu kelab memenangi lebih banyak kejuaraan.

Terima kasih kepada @hrhcrownprinceofjohor (Tunku Ismail) kerana memberi saya peluang mewakili kelab terbaik di Malaysia.

“Saya gembira menjadi sebahagian daripada projek JDT dan saya berharap dapat membantu pasukan memenangi lebih banyak trofi,” tulis Sumareh menerusi akaun Instagram Story, semalam.

Terdahulu, JDT mengesahkan Sumareh kini milik mereka menerusi satu video ringkas pengenalan pemain Gambia itu di laman sosial kelab. Ia sekali gus menjawab teka-teki mengenai sp3kulasi perpindahan pemain berusia 26 tahun itu ke skuad Harimau Selatan.

Menerusi video itu juga, Sumareh dilihat bakal menggunakan jersi nombor kegemarannya iaitu 13.

Perpindahan Sumareh ke JDT boleh dianggap bukan berita meng3jutkan selepas Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini sudah memberi bayangan pemain itu berada dalam radar skuad JDT.

Nama Sumareh semakin hangat diperkatakan dalam arena bola sepak negara minggu ini susulan isu dengan bekas majikannya, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP). Ia selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan PBNP membayar RM4.9 juta kepada Sumareh berkaitan tunggakan gaji dan pelanggaran kontrak.