Setelah Sekian Lama Malik Akhirnya Kembali ke Pasukan Asal

Penjaring terbanyak tempatan Liga Perdana 2016 dan 2017, Abdul Malik Mat Ariff mahu membuktikan kembalinya ke pangkuan Pahang mampu memberi impak dalam saingan Liga Super musim depan.

Abdul Malik berkata, pengalaman yang dimiliki memberi motivasi dan keyakinan untuk meletakkan skuad Pahang pada kedudukan terbaik.

Saya berterima kasih kepada pengurusan pasukan yang menyenaraikan saya selepas kali terakhir bersama Pahang pada 2014.

“Saya harap dapat membalas kepercayaan itu dengan mempamerkan prestasi terbaik seperti yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Abdul Malik antara empat pemain kelahiran Pahang yang sebelum ini berkelana bersama pasukan luar disenaraikan dalam usaha memperkasakan skuad Pahang.

Tiga anak jati Pahang yang turut disenaraikan ialah Shahrul Aizad Zulkifli (Terengganu FC (TFC), Baqiuddin Shamsudin (UKM FC) dan Muhammad Jadid Ilias (FELDA United).

Abdul Malik yang juga bekas pemain TFC dan Kuantan FA mengharapkan pencapaian gemilang akan berpihak kepada Pahang musim depan.

“Saya pernah meraih kejayaan bersama Pahang pada 2013 dan 2014 apabila Pahang menjulang Piala Malaysia walaupun bukan sebagai pemain utama. “Justeru, saya harap musim depan saya akan berada dalam kesebelasan utama dan membantu Pahang mengulangi pencapaian itu,” katanya.