“Saya Bapak, Bukan Datuknya”– Awie

“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk menjaga kesihatan saya supaya apabila hantar anak itu pergi sekolah nanti, kawan-kawannya tidak menyangka saya ini datuknya,” kata Datuk Awie, 52, yang bakal menimang anak keenam pertengahan Januari depan.

Awie ketika ditemui berkata, dikurniakan cahaya mata pada usia 52 tahun adalah anugerah dan rezeki yang tidak terbanding.

“Harapnya kawan-kawan anak saya nanti tidak bertanya, itu atuk engkau ke? Malu saya dibuatnya,” katanya.

Awie berkata, mendapat anak pada usia sekarang juga adalah cab4ran. Namun, dia lebih banyak berfikir ke arah positif.

“Apabila buat sesuatu benda, saya kena sentiasa berhati-hati dan kuatkan semangat untuk sentiasa sihat dan jaga pemakanan untuk menjaga kesihatan. Isteri saya masih muda dan bakal dapat anak. Kita kenalah sealiran. Kalau tidak kita sakit-sakit isteri pun menyampah,” katanya.

Awie yang berkahwin dengan Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin, 33, pada Oktober 2016 bagaimanapun enggan berkongsi jantina anaknya buat masa ini kepada umum.

Menurutnya, dia tidak berniat untuk merahsiakan, cuma risau jantina bayi yang dikongsi tidak sama seperti yang diumumkan.

“Sekarang, isteri sedang menunggu hari bersalin, mungkin dalam tempoh dua minggu lagi isteri melahirkan bayi kami. Biar sudah lahir baru saya kongsi, risau nanti lahir jantina berbeza pula. Tunggu bayi keluar, kita tahulah jantinanya,” katanya.

Januari ini juga, peminat dapat menonton filem pertama syarikat Awie iaitu Rumah Produksi Merah berjudul 10 Tips T!pu Bini yang akan ditayangkan menerusi saluran Astro First bermula 7 Januari ini.