Sah Milik Kedah Darul Aman (KDA) FC

Nampaknya, persoalan mengenai pemain import terakhir pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC sudah terjawab apabila pemain tengah skuad kebangsaan Singapura, Anumanthan Mohan Kumar diumumkan secara rasmi sebagai rekrut terbaharu pasukan tersebut.

Kuota pemain import skuad Lang Merah dalam saingan Liga Malaysia 2021 sudah lengkap sepenuhnya selepas mereka mengekalkan 3 pemain import musim lepas iaitu Kipre Tchetche, Kpah Sherman, Renan Alves serta membawa masuk pemain Lubnan, Rabih Ataya.


Anumathan akan beraksi di posisi tengah menggantikan tempat pemain dari Filipina, Amin Nazari. Bekas pemain Hougang United (Singapura) ini telah menandatangani kontrak bersama KDA FC selama setahun.

Kebolehan beraksi di beberapa posisi penting skuad Kedah telah menarik minat barisan kejurulatihan KDA FC untuk mendapatkannya.

“Selain mempunyai fizikal tubuh badan yang tinggi, pengalaman pernah bersama Aidil Sharin di Home United sebelum ini akan membentuk persefahaman yang baik untuk musim 2021,” kata kenyataan daripada KDA FC.

Pemain yang berusia 26 tahun itu juga merupakan pemain keempat dari Singapura beraksi dalam saingan Liga Malaysia 2021 selepas Safuwan Baharuddin (Selangor), Shakir Hamzah (Perak) dan Harris Harun (JDT).

Ini kali pertama beliau menyertai kelab di luar negara dan Anumanthan turut mempunyai pengalaman beraksi di AFC Cup bersama pasukan Home United (kini Lion City Sailors FC) ketika dibawah kendalian Aidil Shahrin Sahak.

Aidil yang kini merupakan ketua jurulatih KDA FC amat mengenali pemain tersebut dan menyifatkan kehadirannya mampu membantu jentera tengah yang diketuai oleh Baddrol Bakhtiar.

Kalau anda tanya saya, ada beberapa pemain yang bagus dan boleh bermain di luar negara bila-bila masa. Sudah tentu saya mahu bawa Anumanthan.

“Dia bukan sahaja seorang pemain yang mempunyai skill tetapi lebih kurang seperti Harris Harun yang sentiasa memberi 100%, orang yang bekerja keras untuk pasukan dan saya fikir pemain seperti Anu boleh bermain di Malaysia,” katanya ketika ditemubual oleh The Final Whistle.