Jiran tetangga disahkan terpilih sebagai tuan rumah bagi kejohanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) yang akan berlangsung pada 2021.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino dalam FIFA Council Meeting di Shanghai, pada hari ini.

Dalam merebut tempat selaku tuan rumah kejohanan dunia bawah umur itu, Indonesia turut bersaing dengan dua buah lagi negara daripada benua Amerika Selatan iaitu Brazil dan Peru.

Bagaimanapun, Indonesia lebih menarik perhatian badan bola sepak dunia itu sekaligus mencipta sejarah sebagai negara ASEAN kedua selepas Malaysia pada tahun 1997 dipilih bagi menjadi tuan rumah kejohanan tersebut.

Pengumuman ini turut menyaksikan skuad Indonesia B-20 layak secara automatik dalam kejohanan ini.

Manakala, bagi skuad negara B-20 yang dibarisi oleh Luqman Hakim dan rakan-rakan, mereka terlebih dahulu perlu mara ke saingan separuh akhir Kejuaraan AFC B-19 2020 bagi melayakkan diri ke kejohanan Piala Dunia B-20.