Rasmi Tuck Akan Beraksi Bersama Pasukan lain Musim Depan

Ketua pasukan Terengganu FC, Lee Tuck sah meninggalkan skuad dari Pantai Timur itu sekaligus bakal beraksi bersama pasukan lain musim hadapan.

Perkara ini diumumkan oleh Tuck menerusi satu pengumuman di laman media sosial Instagram miliknya sebentar tadi dimana beliau menyatakan pasukan mempunyai perancangan yang lain dan ianya tidak melibatkan bekas pemain Negeri Sembilan itu.

Saya sedih perjalanan bersama pasukan sudah berakhir. Sayangnya, saya akan berpisah dengan Terengganu FC. Mereka mahu mencuba perkara baharu dan bermaksud saya tidak akan terlibat dalam perancangan tersebut musim hadapan.

Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama selama ini seperti pihak pengurusan, staf, pemain dan jurulatih.

Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada peminat dan warga Terengganu. Anda telah menerima saya sejak hari pertama dan membuatkan Terengganu berasa seperti rumah, kata Lee Tuck.

Selain Lee Tuck, pemain import lain yang telah meninggalkan pasukan terlebih dahulu ialah striker, Dominique Da Sylva.

Seorang lagi pemain, Sanjar Shaakhmedov dikhabarkan juga akan meninggalkan pasukan setelah menerima tawaran dari pasukan luar Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *