Safiq Rahim Tetap Hormat

Pemain tengah Melaka United, Safiq Rahim, berkata dia tetap menghormati kemampuan Selangor menjelang perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia bermula Jumaat ini.

Melaka dan Selangor dipertemukan dalam pusingan pertama menerusi majlis undian Piala Malaysia yang disiarkan secara langsung pagi tadi.

Jelas bekas kapten skuad kebangsaan itu, skuad G3rgasi Merah berkenaan masih salah satu pasukan terbaik di Malaysia dan Melaka perlu menumpukan kepada persiapan terbaik seandainya mahu melangkah ke suku akhir.

Saya masih memberikan penghormatan penuh kepada pasukan, mereka salah satu pasukan terbaik yang ada dalam Liga Malaysia setakat ini, katanya kepada Astro Arena.

Apa yang penting adalah pasukan Melaka itu sendiri, bagaimana persiapan pasukan Melaka dan bagaimana prestasi kami sewaktu perlawanan nanti.

Sementara itu, ketua jurulatih interim Selangor, Michael Feichtenbeiner, yakin pasukannya mampu menc@bar Melaka dan seterusnya ke suku akhir kejohanan bola sepak tertua negara itu.

Saya sepenuhnya yakin kerana prestasi pemain kami telah meningkat dalam beberapa perlawanan lalu.

Harap-harap kami dapat meningkat lagi ketika berdepan Melaka dan seterusnya berpeluang ke suku akhir, katanya.

Sebagai rekod Melaka menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga kesembilan manakala Selangor di kedudukan lebih baik selepas menamatkan saingan itu di tempat kelima.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *