Safawi Tak Pulang Tangan Kosong

Bukan soal berapa lama di Portimonense SC, sebaliknya striker s3nsasi negara, Safawi Rasid sudah pun menimba pengalaman berharga yang boleh dicurahkan kepada skuad Malaysia.

Bekas pemain kebangsaan, Juzaili Samion, yang pernah berkelana di Perancis bersama kelab RC Strasbourg dan FCSR Haguenau selama dua tahun sejak 1999 berkata, dia juga pernah melalui fasa yang hampir sama dengan Safawi.

Sebagai contoh, selepas tamat berkelana di Perancis, saya pulang menyarung jersi Pahang pada 2001. Setahun kemudian, saya menjalani ujian percubaan dengan beberapa kelab Jerman iaitu Eintracth Frankfurt, Mainz 05, FC Oberhaussen dan Kickers Offenbach selama sebulan.

Biarpun singkat tetapi tempoh itu saya banyak belajar. Dari segi corak latihan, fizikal dan tempo permainan memang jauh berbeza. Tapi kita ambil dari sudut positif untuk kemajuan diri.

Jadi tiada isu berapa lama Safawi di Portimonense, sebab biarpun tempoh pendek tetapi dia belajar sesuatu dia sana. Apa yang dia dapat, dia boleh bantu skuad kebangsaan.

Lagi pun, dia pulang ke pangkuan JDT (Johor Darul Ta’zim), sebuah pasukan yang hebat,” ujar jurulatih bawah 21 tahun (B-21) Piala Presiden Felda United itu ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Safawi, 23, disahkan akan kembali beraksi semula di Liga Malaysia musim depan selepas dipinjamkan kepada kelab Portugal, Portimonense SC pada Oktober lalu.

Perkara tersebut disahkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama stesen televi­syen swasta negara baru-baru ini, di mana khidmat pemain sayap itu ditagih untuk membantu Harimau Selatan pada musim baharu nanti.

Kita kena faham, Safawi adalah aset bola sepak negara. Sudah tentu sebagai pemain kebangsaan, dia memerlukan minit permainan.

Jika dia di sana dan minit permainan dia berkurang, ia akan menjadi masalah kepada skuad kebangsaan. Jadi apabila pulang ke JDT, peluangnya untuk bermain akan banyak.

Perkara ini kita perlu ambil kira juga, tambah pengendali berusia 39 tahun itu yang menyeru agar pemain baharu menggarab setiap peluang untuk beraksi di luar negara.