Dari Portimonense SC Ke K.V. Kortrijk

Kepulangan Safawi Rasid ke kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim depan ternyata memberi kesan di media sosial apabila laman facebook Kelab Portimonense SC Malaysia kini ditukar nama kepada K.V. Kortrijk Malaysia.

Pada awalnya, laman facebook tersebut ditubuhkan dengan tujuan untuk berkongsi perkembangan Safawi bersama kelab tersebut namun mereka kini beralih tumpuan untuk memberi sokongan kepada bintang muda negara, Luqman Hakim yang beraksi dengan kelab Belgium, K.V. Kortrijk.

Luqman kini merupakan satu-satunya pemain dari Malaysia yang beraksi di eropah dan beliau mempunyai kontrak dengan K.V. Kortrijk selama 5 tahun.

Satu lagi laman instagram portimonense_malaysiafan  yang mempunyai lebih 12,000 followers kini sudah dipadam atau kemungkinan akaun ini sudah dijual kepada pihak lain.

Safawi menyertai Portimonense secara pinjaman pada bulan Oktober lalu namun beliau bergelut untuk mendapatkan minit bermain bersama skuad utama walaupun 4 kali berada dalam senarai bangku simpanan.

Bekas pemain T-Team FC itu hanya sempat beraksi bersama skuad B-23 tahun dalam saingan Primeira Liga Portugal B-23, dimana beliau memperoleh minit bermain sebanyak 53 minit.

Disebabkan itu, para peminat bola sepak tempatan meluahkan rasa tidak puas hati mereka di ruang komen sehingga memberi kesan kepada penurunan jumlah pengikut di laman facebook rasmi Portmonense SC.

Sehingga artikel ini ditulis, laman facebook tersebut mengalami penurunan secara mendadak daripada 153,000 likes kini berubah kepada 140,314 likes.