Reaksi Import baharu Kedah Lepas Pijak Bumi Kedah

Import baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang juga pemain kebangsaan Lubnan, Rabih Ataya selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini, petang ini.

Ketibaan pemain import bagi mengisi kuota Asia dan bekas pemain UiTM FC itu pada jam 2.30 petang bersama isteri dan dua anaknya, disambut oleh beberapa penyokong skuad Lang Merah.

Ataya yang difahamkan diikat KDA FC pada November lalu, kelihatan ceria dan bersemangat ketika ditemui sebaik menjejakkan kaki di bumi Kedah.

“Kedah adalah antara pasukan yang kuat dalam saingan musim depan. Saya berharap dapat memberi aksi terbaik dan mahu meraih kejuaraan bersama ini. Saya kini bersedia memulakan latihan selepas dua bulan berehat dan esok saya akan menjalani latihan. Pulun Kedah Pulun.” katanya.

Ataya mula mencipta nama ketika menyertai Ansar FC dari 2008 hingga 2016 dan ketika bersama kelab di Beirut itu, beliau melakukan 88 penampilan di Liga Perdana Lubnan (LPL) dan merekodkan 20 gol selain membantu pasukannya dalam saingan Piala AFC pada 2013.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Khamal Idris Ali berkata kewibawaan dan kemampuan yang ditunjukkan pemain kebangsaan Lubnan itu dalam aksi bersama UiTM FC sebelum ini memikat hati pihaknya.

“Kita harap beliau mampu menjadi antara ‘jeneral’ yang diperlukan Kedah untuk menguatkan ruang tengah serta s3rangan. Diharapkan beliau akan dapat bekerjasama dengan pemain Kedah lain untuk mencorakkan gabungan baharu yang lebih baik musim depan.”katanya.