Piya Dan Fitri Buat Kejutan

Kelantan United Football Club (KUFC) membuat kejutan apabila sah mengikat dua pemain berpengalaman, Mohd Badhri Radzi atau Piya dan Fitri Omar bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Kehadiran dua pemain senior itu melengkapkan senarai 23 pemain KUFC yang kebanyakkan dibarisi ubi muda berusia bawah 26 tahun.

Presiden KUFC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya sengaja membuat kombinasi pemain berusia dan pemain muda bagi membentuk disiplin yang tinggi dalam pasukan Kijang Hijau itu.

Kita perlukan pasukan yang berdisplin untuk bentuk pasukan yang baik, jadi kita dah pilih pemain yang boleh beri komitmen tinggi selain kehadiran pemain senior ini memberi semangat kepada pemain muda bersaing sengit musim depan.

Antara strategi kita juga, ambil jurulatih Jepun, Akira Higashiyama bimbing skuad ini sebab kita serius nak bangunkan pasukan, katanya dalam sidang media memperkenalkan pegawai dan pemain di Hotel Ibis Style, di sini, malam tadi.

Che Abdullah berkata, Akira juga sudah menetapkan sasaran mahu pasukan itu berada di kelompok empat pasukan teratas.

Katanya, kehadiran Piya dan pemain senior lain pula bukan sekadar tempelan atau tarikan semata, sebaliknya akan turut beraksi sepanjang perlawanan.

Kita nafikan Piya dan Fitri hanya bagi menarik perhatian peminat, mereka nak bermain malah dah beri keyakinan dengan tahap kec3rgasan mereka, katanya.

Beliau berkata, gabungan pemain berusia dan muda itu juga memberi keyakinan untuk KUFC menjadi pencabar liga selain akan memperkenalkan dua import bagi memenuhi kouta pemain dalam tempoh terdekat.

Setakat ini, KUFC mengekalkan Gassama Alfussainey dari Gambia dan mengikat bekas pemain Kuching City FC (KCFC), Yuki Tanigawa dari Jepun sebagai pemain import pasukan itu.

Dalam perkembangan sama, Che Abdullah berkata, pihaknya memperuntukkan RM5juta bagi mengurus pasukan itu musim depan termasuk soal gaji pemain.

Katanya, KUFC turut menerima tajaan beberapa pihak yang sudah bersetuju membantu kantung kewangan pasukan selain turut menandatangani penajaan bersama dua syarikat iaitu syarikat minuman Freshlife Sdn Bhd bagi kegunaan air mineral pada sesi latihan dan perlawanan dan LK Properties yang menaja dua buah kereta untuk kegunaan KUFC.