Permintaan Safawi kepada Peminat Malaysia

Tolong jangan letak harapan tinggi untuk lihat saya turun bermain, Itu permintaan tonggak Malaysia Safawi Rasid kepada peminat bola sepak tanah air pada perlawanan akan datang membabitkan Portimonense.

Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, perkara terbabit bukanlah bermakna dia putus harapan namun mahu barisan kejurulatihan menentukan sama ada layak bermain pada masa terdekat ini atau sebaliknya.

Safawi berkata, ketika ini dia tiada sebarang tekanan walaupun tidak berkesempatan diturunkan mewakili skuad utama berikutan banyak perkara yang perlu belajar sebelum diberi peluang berbuat demikian.

Katanya, ketika ini, dia giat menjalani latihan intensif bagi menghadapi perlawanan Piala Portugal yang bermula Jumaat ini.

Diturunkan atau tidak adalah keputusan daripada jurulatih dan saya serahkan kepadanya kerana beliau lebih mengetahui bila masa sesuai untuk bermain.

Saya mahu diturunkan kerana sudah layak untuk bermain bersama pasukan utama dan bukannya tekanan daripada pihak tertentu hingga terpaksa diturunkan.

Ketika ini saya menjalani latihan seperti biasa malah kelab menyediakan program khas untuk saya supaya dapat membentuk fizikal serta kekuatan seperti pemain eropah, katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, peminat bola sepak negara mula menyuarakan kebimbangan di atas karier Safawi Rasid yang mungkin terkubur awal sekiranya masih kekal di Liga Portugal.

Kebimbangan itu diluahkan peminat di laman Facebook rasmi kelabnya, Portimonense SC yang tewas 3-1 kepada FC Porto di mana Safawi hanya sekadar memanaskan bangku simpanan.

Kegagalan meraih minit permainan bersama skuad utama sejak tiba di kelab itu pada 4 Oktober lalu, nyata menghadirkan kegelisahan di kalangan peminat yang setia mengikuti perkembangan Safawi.

Hal ini bermakna, kali keempat bintang Malaysia itu tidak dapat beraksi selepas diketepikan pada aksi men3ntang Maritimo pada 17 Oktober lalu diikuti perlawanan bertemu Tondela dan Santa Clara minggu lalu.

Begitupun, kekurangan minit aksi itu ditampung bersama skuad bawah 23 (B-23) Portimonense SC apabila dia beraksi selama 56 minit sebelum ditukarkan namun ia dilihat masih tidak memadai buat pemain yang meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat Asia itu.

Sementara itu, Portimonense dijadualkan bertemu UD Leiria pada aksi pusingan ketiga Piala Portugal awal pagi Sabtu ini sebelum menerima kunjungan kelab Nacional pada 29 November nanti untuk saingan Liga Portugal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *