Pengumuman mengejutkan Kedah FA

Kedah bakal mengumumkan barisan jurulatih dan pemain bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan dalam tempoh terdekat dengan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor menjanjikan elemen kejutan.

Ada ramai muka lama dikekalkan dan ada juga muka baharu akan diperkenalkan. Kita juga ada sedikit kejutan buat penyokong Hijau Kuning. Tapi saya tak boleh beritahu lagi apa kejutan itu, kita tunggu apabila tiba masanya, katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Mengenai pembeliaan 80 peratus saham Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dalam Darulaman FC Sdn Bhd (DFCSB) oleh syarikat luar, Muhammad Sanusi berkata perkara itu masih lagi dalam perbincangan.

Katanya ketika ini, MBI sedang meneliti tawaran dibuat oleh sebuah syarikat yang dilihat memiliki kemampuan kewangan kukuh.

Jika ada pihak mampu membayar RM26 juta untuk miliki saham 80 peratus di dalam pasukan Kedah, MBI sedia menjualnya. Kita akan jual saham kita kepada mereka yang mampu menyara pasukan bola sepak kita.

Ada satu syarikat dari Kuala Lumpur bersedia mempertimbangkannya tapi belum pasti sama ada syarikat itu mahu membeli keseluruhan 80 peratus saham yang dipegang MBI atau kurang daripada itu. Rundingan masih berjalan dan kita bersedia membuat pertimbangan, katanya.