Peminat Boleh try Luqman

Penyertaan striker muda s3nsasi negara, Luqman Hakim Shamsudin bersama pasukan dari Belgium, KV Kortrijk menyaksikan dia kini turut memiliki profil secara maya dalam permainan video bola sepak yang menjadi kegilaan ramai iaitu FIFA 21.

Menerusi semakan di laman futhead.com, data striker berusia 18 tahun itu boleh didapati dalam FIFA 21 yang menyaksikan pemain terbabit diberikan rating keseluruhan sebanyak 56 dengan potensi untuk melonjak kepada 74.

Malah, dia turut memiliki gerakan skill bertaraf tiga bintang, namun mengambil kira usia muda dan pemain yang berasal dari Malaysia, 56 itu boleh dianggap sebagai rating yang munasabah.

Meskipun dia memiliki rating 56 secara keseluruhan namun ia dipecahkan kepada enam kategori utama membabitkan kepantasan, rembatan, hantaran, gelecekan, pertahanan dan juga fizikal.

Daripada enam kategori utama ini, Luqman mendapat skor tertinggi daripada kepantasan menerusi rating 72 disusuli gelecekan (65), rembatan (58), hantaran (54), fizikal (46) dan terakhir sekali pertahanan dengan rating 18.

Namun bagi setiap kategori utama itu, masih ada beberapa lagi pecahan kecil di bawahnya yang menyaksikan dia memperolehi rating tertinggi menerusi keseimbangan dengan rating 85 dan kelincahan yang mendapat rating 80.

Dua aspek ini memberikan rating terbaik buat Luqman selain daya pecutan dengan rating 75 dan lompatan dengan rating 65.

Bagaimanapun, beberapa aspek lain menyaksikan Luqman mendapat rating 60 ke bawah dengan pertahanan memberikan rating terendah memandangkan posisi utamanya adalah sebagai striker.