Peluang Untuk Pasukan Liga M kembali dapatkan beliau

Mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang berminat dengan Mohammadou Sumareh tampak berdepan laluan mudah selepas Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menarik diri daripada mendapatkan khidmat pemain naturalisasi pertama negara itu.

Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar mengesahkan pemain sayap kebangsaan itu tiada dalam perancangan Red G!ants musim hadapan sekali gus situasi ini membuka peluang kepada pasukan lain untuk memancing pemain yang lebih dikenali sebagai Keli Boy itu.

Bukan kita mahu katakan yang Sumareh tidak bagus, dia pemain yang baik dan bertaraf kebangsaan. Tetapi dia tiada dalam perancangan kita untuk musim depan.

Kita berfikir mungkin lebih baik kalau kita mencari pemain lain yang memiliki kualiti sama atau lebih baik berbanding Sumareh, katanya.

Sebelum ini, Sumareh dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan The Red G!ants selepas kontrak yang ditawarkan oleh FAS kepada bekas pemain Pahang itu bocor di laman media sosial.

Malah, Selangor juga dikatakan begitu berminat untuk menambah s3ngat mereka dengan kemasukan Sumareh selepas perbualan pemain itu bersama Pengarah Teknikal FAS, Micheal Feichtenbeiner menerusi aplikasi Whatsapp turut tular di laman media sosial.

Sebagai rekod, pemain kelahiran Fajara, Gambia itu memulakan kariernya di Liga M selepas menyertai PDRM pada 2013 sebelum ke Perlis dan kemudiannya ke Pahang.

Bagaimanapun, dia ketika ini sedang beraksi di Liga Thailand bersama pasukan Police Tero dan hanya mengikat kontrak selama enam bulan bersama pasukan itu.

Sementara itu, Shahril mengesahkan FAS sudah mengikat bekas pemain Jerman, Karsten Neitzel sebagai jurulatih Red G!ants untuk musim depan.

Setakat ini, apa yang saya boleh sahkan adalah FAS memang sudah menandatangani Neitzel sebagai jurulatih baharu Selangor. Namun untuk tiga lagi nama (Carsten Nulle , Lorenz Baumann dan Marco Grimm) yang dikaitkan itu, mungkin Neitzel mempunyai perancangannya yang tersendiri.

Barisan kejurulatihan sedia ada pun cukup baik dan melakukan tugas mereka dengan bagus. Tetapi kalau kita memerlukan perubahan ataupun penambahan dari segi struktur kejurulatihan, mungkin kita akan pertimbangkan, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *