Nik Akif Ikat Kontrak 2 Tahun Bersama Pasukan Baharu

Beberapa jam selepas mengumumkan kehadiran pertahanan tengah Kelantan, Shahrul Nizam Ros Hasni, Terengganu FC (TFC) menyambar seorang lagi bintang The Red Warri0rs, Nik Akif Syahiran Nik Mat bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan.

Nik Akif Syahiran sah menjadi pemain TFC musim depan, pemain berusia 21 tahun itu mengikat kontrak selama dua tahun.

Pemain itu teruja beraksi dengan TFC lebih-lebih lagi perpindahan pertama sepanjang kariernya dan keputusan pemain kelahiran Kuala Krai memilih TFC juga kerana dia mahukan cabaran baharu yang lebih bermakna.

Kehadiran Nik Akif yang memiliki kualiti sebagai ‘arkitek’ dilihat mampu merencana dan memperkuatkan lagi jentera pasukan TFC. Pemain itu akan memakai jersi bernombor 22, kata TFC dalam satu kenyataan akhbar sebentar tadi.

Sebelum ini, pemain berketinggian 1.64 meter itu yang pernah beraksi bersama skuad senior kebangsaan diintai beberapa pasukan.

Nik Akif dijangka bergandingan dengan seorang lagi pemain tengah kelahiran Kelantan, Faiz Nasir selain tonggak import yang belum diumumkan selepas pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov tidak lagi bersama pasukan itu musim depan.

Terdahulu, TFC mengumumkan kehadiran tonggak skuad bawah 23 tahun, Shahrul Nizam bagi memperkuatkan cabaran pasukan.

Dia sudah berada dalam radar kita beberapa tahun kebelakangan ini dan walaupun berusia 22 tahun, Shahrul Nizam merupakan tonggak Kelantan dan B-23 Malaysia, kata jurulatih Terengganu, Mohd. Nafuzi Zain.