Liga Malaysia ‘syurga pemain import’

Liga Malaysia (Liga M) boleh dianggap sebagai ‘syurga pemain import’ kerana apabila mereka berjaya menjejakkan kaki ke sini, slot mereka untuk terus beraksi dalam kancah bola sepak tempatan dilihat sudah terjamin.

Mana tidaknya, mereka terus menjadi selesa di sini apabila khidmat mereka sentiasa menjadi buruan pasukan, apatah lagi buat pasukan yang gemar menggunakan polisi ‘kitar semula’ pemain import.

Ini dapat dibuktikan apabila kebanyakan pemain import mudah mendapat pasukan baharu bagi musim 2021 sekalipun mereka dilepaskan bekas pasukan ataupun mereka cuba mencari pengalaman baharu di tempat lain.

Berdasarkan maklumat menerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), sekurang-kurangnya 13 pemain import yang tidak bersama pasukan mereka pada musim lalu dapat terus mencari ‘rezeki’ di sini apabila mereka diikat pasukan baharu.

Setakat ini, daripada 13 pemain import itu, tujuh daripadanya akan beraksi di Liga Super manakala enam lagi beraksi dalam Liga Perdana.

Semakan menerusi laman MFL mendapati pendatang baharu Liga Super, KL United mengikat dua pemain import ‘kitar semula’ iaitu Dominique da Sylva dari Terengganu FC (TFC) dan Romel Morales daripada Melaka United.

Kedah pula berjaya ‘menyambar’ Rabih Ataya daripada UiTM FC manakala Perak pula mengikat bekas pemain tengah skuad Lang Merah, Shakir Hamzah untuk memperkasa skuad The Bos Gaurus bagi musim 2021.

Bekas arkitek Terengganu FC (TFC), Lee Tuck terus kekal di Pantai Timur apabila bersama Pahang sementara TFC pula mendapatkan khidmat bekas pemain Sabah, Petrus Shitembi dan UiTM FC yang kehilangan Ataya pula mengikat bekas pemain Pahang, Adam Reed.

Bagi saingan Liga Perdana pula, Sarawak United mengikat tiga pemain import ‘otai’ iaitu Taylor Regan dan Sandro da Silva yang dilepaskan Selangor selain juara Liga Perdana 2020, Lee Chang Hoon dari Pulau Pinang.

Kelantan United dan Kuching City FC pula tampak ‘bertukar pemain’ apabila Yuki Tanigawa yang sebelum ini bersama Kuching FA menyertai Kelantan United sementara Aylton Alemao yang bersama Kelantan United pada musim lalu diikat Kuching City FC bagi musim 2021.

sumber : BH

Pasukan pembangunan, Terengganu FC (TFCII) pula tidak ketinggalan untuk mendapatkan khidmat bekas pemain Kelantan, Masaki Watanabe.