Khairul Helmi Buat Keputusan Sertai Pasukan Baharu

Bekas ketua pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari bakal menyertai pasukan lain buat kali pertama dalam karier profesional beliau untuk saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Khairul Helmi memilih Melaka United sebagai destinasi beliau yang seterusnya setelah meninggalkan pasukan Kedah.

Kedah memutuskan untuk tidak memberikan kontrak lanjutan kepada Khairul bagi menghadapi saingan musim 2021, sekaligus menamatkan kerjasama yang telah terjalin selama tiga belas tahun.

Sepanjang beraksi bersama Kedah, pemain yang mesra dengan panggilan Keon itu telah memenangi semua gelaran yang ditawarkan dalam saingan liga domestik seperti Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Bagi pasukan Melaka United, mereka kekal dibimbing oleh Zainal Abidin Hassan. Meskipun terdapat khabar angin yang mengatakan mereka bakal dikendalikan oleh jurulatih baharu, namun pengurusan pasukan masih yakin dengan kemampuan Zainal menguruskan pasukan.

Melaka sudah memulakan langkah mencari pemain baharu dimana mereka dikhabarkan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat pemain tengah skuad kebangsaan Filipina, Manuel Ott yang beraksi bersama United City FC musim ini.