Khairul Fahmi Dan Shahrul Saad Dipanggil

Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, mendedahkan akan memanggil dua pemain senior, iaitu Khairul Fahmi Che Mat dan Shahrul Saad, bagi mengepalai senarai 30 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat bulan depan.

Bagaimanapun, kem latihan fasa pertama itu tidak melibatkan pemain skuad utama kerana mereka hanya akan dipanggil dalam kem latihan fasa kedua selepas itu.

Tambahnya, skuad negara kali ini akan memiliki adunan pemain lama dan baru selepas setahun pemain kebangsaan tidak berkumpul berikutan pandemik COVID-19.

Pengendali itu menegaskan waktu rehat panjang berkenaan memerlukan latihan asas buat semua pemain, terutama buat mereka yang masih baru dalam saingan peringkat antarabangsa.

“Daripada segi penjaga gol, mungkin Apek (Khairul Fahmi) akan bersama kami manakala pertahanan pula Shahrul Saad,” katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

“Pemain lain pula masih dalam perbincangan kerana kami masih belum memuktamadkan senarai pemain.

“Memang bukan mudah kerana pemain sudah agak lama tidak bersama pasukan dan bukan dalam sekelip mata kami boleh mendapatkan keserasian.

“Tetapi saya yakin pemain yang akan dipanggil nanti mempunyai potensi yang besar untuk skuad kebangsaan pada masa akan datang,” katanya.