Kedudukan Pahang Mungkin Di Tarik Balik

KUALA LUMPUR: Kedudukan Pahang dan Melaka masih belum ‘selamat’ selepas menjadi dua wakil Liga Super yang diberikan lesen kebangsaan bersyarat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ia susulan kegagalan dua pasukan itu mengemukakan dokumen lengkap berkaitan tunggakan dengan agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Selain Pahang dan Melaka, lima pasukan Liga Perdana termasuk juara musim ini, Pulau Pinang, Kelantan, Kuching FA, UKM FC dan Sarawak United turut diberi lesen bersyarat oleh FAM.

Semua pasukan terbabit diberikan tempoh hingga 31 Oktober ini bagi mengemukakan segala dokumen yang diperlukan kepada Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM.

Sekiranya gagal berbuat demikian, pasukan terbabit bakal berdepan hukuman berat termasuk lesen ditarik balik dan disingkirkan dari liga.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam bagaimanapun menjelaskan pihaknya memahami masalah yang dihadapi pasukan berkenaan kerana ia membabitkan pihak ketiga.

Pahang tidak memohon lesen AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), dan untuk lesen kebangsaan mereka ada masalah mengenai LHDN, PERKESO dan KWSP. Melaka pula memohon lesen AFC tetapi gagal.

Namun, dari segi lesen kebangsaan, mereka (Melaka) ada dua kriteria yang masih belum diselesaikan iaitu LHDN dengan KWSP. Bagaimanapun perbincangan peringkat domestik sedang berlaku dengan agensi terbabit.

Jika Pahang atau Melaka tidak menyerahkan apa-apa dokumentasi, itu isu tanggungjawab dari pasukan. Tapi daripada bukti yang kami terima, nyata kelewatan dari pihak ketiga dan bukan dari pasukan.

Jelas dalam surat menunjukkan pasukan nak selesaikan dan hanya menunggu pihak ketiga. Jadi saya rasa jika persetujuan dengan agensi terbabit dapat dipercepatkan benda ini akan selesai, katanya pada sidang media di Wisma FAM, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *