JDT mudah Panas

Jika Kedah Darul Aman (KDA) FC memegang status sebagai ‘raja kebangkitan semula’ dalam Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pula muncul pasukan paling cepat ‘panas’ setakat ini.

Ketika ada pasukan yang bergelut untuk mencari rentak setiap kali memulakan permainan, pendahulu Liga Super itu tampak tidak berdepan dengan masalah terbabit apabila mereka terus ‘ghairah’ mendapatkan gol pada awal permainan.

Ini kerana berdasarkan statistik, skuad bimbingan Benjamin Mora itu menjaringkan lapan gol setakat ini dalam tempoh 15 minit pertama sekali gus membolehkan mereka sentiasa berada dalam kawalan penuh bagi setiap perlawanan.

Itu adalah jumlah tertinggi untuk gol yang berjaya dihasilkan dalam 15 minit pertama, lebih lima mengatasi Selangor FC (SFC) yang meledak tiga gol dalam tempoh sama.

Jaringan paling awal yang dilakar juara Liga Super tujuh kali itu dapat disaksikan ketika bertemu PJ City FC di laman sendiri apabila mendahului menerusi jaringan Gonzalo Cabrera hanya selepas 40 saat perlawanan berlangsung.

Secara keseluruhan, 17 gol dapat disaksikan dalam tempoh 15 minit pertama Liga Super musim ini menerusi JDT (8 gol), SFC (3 gol), Penang FC (2 gol) dan masing masing satu gol daripada KDA FC, KL City FC, Melaka United (MU) dan Perak FC.

Malah, dengan jaringan awal yang diperoleh skuad JDT itu, ini menyaksikan mereka berjaya membuka jaringan dalam tujuh daripada 10 perlawanan setakat ini.

Apabila mereka mendahului perlawanan pada musim ini, ia menjadi ‘game over’ kepada pasukan lawan kerana mereka memenangi semua tujuh aksi terbabit selepas terlebih dahulu meledak gol pembukaan.

Rekod terbabit hanya dapat disaingi Melaka United (MU) dan PJ City FC yang mendahului dalam enam perlawanan, namun mereka hanya menang tiga dan seri dua perlawanan selepas mendahului lawan masing-masing.

Sementara itu, empat pasukan mendahului dalam lima perlawanan iaitu SFC, Sabah FC, Penang FC dan KL City FC manakala KDA FC, TFC dan Perak FC membuka jaringan dalam empat daripada 10 perlawanan musim ini.

UiTM FC dan Sri Pahang FC pula mendahului dalam dua perlawanan setakat ini namun malang buat skuad The Lion Troops, ia tidak bermakna apa-apa selepas mereka tewas kedua-dua aksi terbabit.