JDT, Kedah dan TFC ada Peluang Jadi Tuan rumah peringkat Asia

Malaysia berpeluang menjadi tuan rumah bagi Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC musim 2021 selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan saingan peringkat kumpulan bagi dua pertandingan itu akan berlangsung di venue khusus.

Justeru, tiga wakil negara yang bertanding di pentas Asia itu iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan ACL sementara Kedah dan Terengganu FC (TFC) dalam Piala AFC boleh menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bagi aksi kumpulan masing-masing.

Perkembangan itu turut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John ketika BH Sukan mendapatkan pengesahan sama ada tiga wakil negara boleh menjadi tuan rumah selepas ACL dan Piala AFC akan dianjurkan di venue khusus.

“Boleh (menjadi tuan rumah). Tetapi selepas undian dijalankan, baru kita buka untuk tuan rumah,” katanya.

Jemputan untuk membida dan maklumat lanjut mengenai tuan rumah akan diedarkan kepada semua ahli gabungan selepas undian peringkat kumpulan Piala AFC dan ACL yang berlangsung, hari ini.

Sebagai rekod, saingan terbesar ACL musim ini yang menampilkan penyertaan 40 pasukan buat kali pertama dalam sejarah akan berlangsung di Zon Barat dan Zon Timur sementara Piala AFC pula akan dilangsungkan di lima zon AFC.

Berdasarkan persetujuan semua ahli gabungan dan pasukan yang bertanding, AFC bersetuju untuk menganjurkan saingan peringkat kumpulan ACL Zon Barat antara 14 hingga 30 April manakala Zon Timur pula pada 21 April hingga 7 Mei.

Saingan peringkat kumpulan Piala AFC pula akan berlangsung di Zon Selatan, Tengah dan Timur pada 14 Mei sebelum Zon Barat bermula pada 23 Mei diikuti Zon ASEAN yang dijadual bermula pada 22 hingga 28 Jun dengan saingan berlangsung dengan format ’round robin’.

Dalam perkembangan sama, Windsor berkata, AFC berterima kasih di atas sokongan Jawatankuasa Pertandingan AFC, ahli gabungan dan juga pasukan bertanding yang bekerjasama untuk menghasilkan jadual bagi saingan ACL dan Piala AFC yang terbesar dan paling inklusif dalam sejarah.

“AFC akan sentiasa meletakkan keselamatan dan kebajikan semua pemegang taruh sebagai keutamaan.

“Namun dengan kejayaan ACL 2020, kita berjaya membuktikan yang bersatu padu, solidariti dan kepemimpinan yang kuat oleh AFC boleh menjayakan pertandingan pada waktu yang mencabar,” katanya.