Faisal Akui Terima tawaran menarik

Striker muda kebangsaan Mohd Faisal Abdul Halim kini masih belum membuat keputusan pasukan baharu musim depan selepas kontraknya bersama Pahang berakhir musim ini.

Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, dia tidak perlu tergesa-gesa membuat keputusan memilih pasukan baharu musim depan walaupun ada menerima beberapa tawaran, masa masih panjang lagi sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) 2021 bermula.

Katanya, banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum keputusan muktamad dibuat, dia perlu membuat keputusan yang tepat bagi memastikan masa depan bersama pasukan berkenaan lebih terjamin.

Bohong kalau saya cakap tak ada pasukan yang tampil menawarkan kontrak bermain musim depan selepas kontrak bersama Pahang tidak disambung, namun sebagai pemain profesional banyak perkara yang perlu diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

Kebanyakan tawaran yang saya terima semuanya menarik belaka, justeru agak sukar untuk memilihnya. Saya perlu mengambil sedikit masa untuk berfikir sebelum keputusan muktamad dibuat, katanya, dihubungi di sini, semalam.

Mohd Faisal atau terkenal dengan panggilan Mickey menyarung jersi Pahang selama lima musim sebelum kontraknya tamat musim ini, aksi menarik yang dipamerkan ketika ketika bersama Pahang memberi peluang kepadanya terpilih mewakili skuad bawah 23 tahun kebangsaan.

Menurut pemain berusia 22 tahun itu, pengalaman lima musim bersama Pahang amat berharga buatnya untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional selepas ini, pendedahan yang diterima begitu berharga untuk meneruskan aksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

Mohd Faisal berkata, dia yakin tidak akan berhadapan banyak masalah dengan pasukan baharu musim depan kerana kebanyakan corak permainan pasukan tempatan hampir sama, sedikit perubahan mungkin diterapkan jurulatih yang berbeza.

Saya berharap peminat bola sepak tempatan dapat mendoakan kejayaan saya dengan pasukan baharu musim depan, saya berjanji akan memberi persembahan terbaik demi kejayaan pasukan.

Peluang yang diberikan akan digunakan dengan sebaik mungkin, katanya yang berharap terus terpilih mewakili negara di pentas antarabangsa selepas ini.

Selain Pulau Pinang beberapa pasukan dikatakan sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat pemain kebangsaan itu, perbincangan sedang dilakukan secara profesional.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *