Dua pemain lengkapkan kuota Import

TRW Kelantan FC telah melengkapkan kuota pemain import mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini apabila menandatangani striker dari England dan pemain tengah dari Sepanyol.

Baru-baru ini, Kelantan mengumumkan mereka menandatangani Jack Hindle dan Mario Arqués bagi mengukuhkan jentera s3rangan dan bahagian tengah.

Hindle merupakan striker berusia 28 tahun dan beliau sebelum ini banyak beraksi bersama kelab bawahan England seperti Barrow, Gateshead dan South Shields.

Mario pula merupakan pemain tengah berusia 29 tahun dan beliau pernah beraksi antara kelab besar di La Liga seperti Villarreal dan Valencia.

Sebelum ini, TRW Kelantan menandatangani pemain pertahanan dari Greece, Christos Intzidis dan pemain sayap Indonesia, Natanael Siringo Ringo.

Bagi menghadapi saingan musim 2021, kelab yang dimiliki oleh Norizam Tukiman itu akan dibimbing oleh jurulatih dari San Marino, Marco Ragini.