Diaz akhirnya buat keputusan

Bekas striker import Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz menepis khabar angin mengenai perpindahannya ke pasukan Liga Malaysia musim ini apabila disahkan telah menandatangani kontrak dengan Club Atletico Platense sehingga 31 Disember 2021.

Platense adalah kelab yang baharu dinaikkan pangkat ke liga divisyen 1 Argentina, Liga Primera Division pada tahun 2020. Kehadiran Diaz sangat diperlukan oleh mereka untuk bersaing dengan pasukan kuat seperti Boca Juniors, Racing dan River Plate serta memburu kedudukan lima terbaik liga.

Kelab ini juga turut dikenali sebagai ‘sotong’ selepas wartawan Palacio Zino mengatakan bahawa pasukan itu bergerak seperti cumi-cumi dengan cecairnya.

Diaz sebelum ini dikaitkan dengan Sabah FC selepas pengendali pasukan itu, Kurniawan Dwi Yulianto menyatakan bekas penjaring terbanyak Liga Super 2016 itu sesuai dengan corak permainan yang dimahukannya.

Kurniawan juga berkata, pihak Sabah FC pada dasarnya sudah bersetuju berhubung soal bayaran Diaz dan beliau juga ada berhubung dengan ejen pemain itu sebelum ini.

Diaz merupakan salah satu pemain import terbaik yang pernah mewarnai kancah Liga Malaysia dimana beliau pernah membantu JDT memenangi Liga Super sebanyak 2 kali pada musim 2014 dan 2015 serta Piala FA pada musim 2016.

Selepas 3 musim bersama JDT, beliau menyertai kelab Mexico, Leon pada tahun 2017 dan kemudian menyertai kelab Bolivia, Bolivar de La Paz pada musim 2019 hingga 2020. Sepanjang bersama Bolivar, Diaz hanya menjaringkan 2 gol dalam 9 perlawanan sebelum ditangguhkan kerana wabak pandemik COVID-19.

Antara pencapaian terbaik beliau dalam karier bola sepak benua Amerika Selatan ialah menjuarai Copa Sudamericana bersama Club Atlético Lanús pada musim 2013.