‘Cotang’ Teruja Pamer Aksi Terbaik Bersama Pahang

Pemain tengah, Shahrul Aizad Zulkifli atau ‘Cotang’ mengakui teruja untuk mempamerkan prestasi terbaik bersama skuad Pahang bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Shahrul Aizad berkata, kepercayaan yang diberikan skuad Pahang terutama mempertaruhkan lebih ramai anak jati Pahang diyakini mampu memperkasakan skuad itu.

Saya berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan dan berazam untuk bersama rakan lain meletakkan Pahang melakar kejayaan membanggakan musim depan.

Diharapkan beraksi bersama pasukan negeri kelahiran akan meningkatkan lagi motivasi untuk kembali melonjakkan imej Pahang,” kata pemain kelahiran Felda Bukit Goh, Kuantan.

Musim ini, Shahrul Aizad menyarung jersi Felda United FC selepas dua musim bersama Terengganu FC (TFC) pada 2018 dan 2019.

Ditanya kembali bersama dua lagi pemain iaitu Abdul Malik Mat Ariff dan Baqiuddin Shamsudin ketika mewakili Kuantan FA, dia gembira selepas lama terpisah.

Katanya, pengalaman bersama itu diharap dapat diterjemahkan dengan kualiti yang lebih baik terutama menyarung jersi skuad kelahiran Pahang.

Oleh itu saya harap dapat beraksi pada tahap terbaik dengan sokongan pengurusan, barisan kejurulatihan dan pemain lain, kata pemain berumur 27 tahun itu.