Bukan satu tetapi dua perlawanan bertaraf ‘blockbuster

Selepas berehat lebih dua bulan, Liga Malaysia (Liga M) akhirnya kembali menemui penyokong bagi musim 2021 dan dijangka terus hangat sekalipun dilangsungkan dalam norma baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan tanpa kehadiran penyokong.

Berdasarkan jadual yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini, bukan satu tetapi dua perlawanan bertaraf ‘blockbuster’ akan disajikan kepada penyokong sekali gus menambahkan lagi kemeriahan untuk perlawanan pembukaan musim ini.

 

Aksi pertama sudah pasti membabitkan perlawanan Sumbangsih yang menemukan juara Liga Super tujuh kali berturut turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC di gelanggang penuh ikonik, Stadium Sultan Ibrahim.

Saingan pada 5 Mac itu bukan setakat menawarkan piala untuk direbut namun kedua dua pasukan juga berentap untuk menjadi pasukan pertama meraih mata penuh dalam saingan Liga Super musim ini.

Keesokannya, keterujaan penyokong khususnya Selangor dan Pahang pasti bercambah apabila dua pasukan yang dianggap ‘gergasi’ iaitu Selangor FC dan Sri Pahang FC akan turun berentap di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Tumpuan pasti terarah kepada percaturan kedua-dua pasukan yang kini dibimbing pengendali baharu di mana The Red Giants mendapat sentuhan Karsten Neitzel manakala Tok Gajah mempertaruhkan kepakaran Thomas Dooley.

Lain-lain pertembungan menyaksikan ulangan Liga Perdana musim lalu apabila juara Liga Perdana, Penang FC akan bertemu KL United sementara UiTM FC akan menentang Terengganu FC (TFC) dan Melaka United pula dijadual bertemu Sabah.

Lebih menarik juga untuk disaksikan adalah pertarungan PJ City yang diperkuat dengan keseluruhan anak tempatan bertemu Perak yang diperkuat dengan empat pemain import setakat ini.

Bagi saingan Liga Perdana, aksi yang dinantikan sudah pasti untuk melihat kemampuan Skuad Projek FAM-MSN yang akan memulakan aksi musim ini di tempat lawan bertemu skuad pembangunan, Terengganu FC II (TFCII).

sumber : BH

Satu lagi pasukan yang dijangka turut menarik perhatian ramai, Kelantan FC pula akan memulakan misi ke Liga Super musim depan dengan menentang satu lagi skuad pembangunan, Perak II di laman sendiri.