Bekas Pemain Liga Perdana Inggeris Kembali Ke Malaysia

Kuota pemain import skuad UiTM FC kini sudah lengkap sepenuhnya apabila bekas pemain import Pahang, Adam Michael Reed diumumkan sebagai pemain import baharu pasukan itu bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden UiTM FC, YBhg. Prof. Dr Azizan Abdullah dalam Majlis Perjumpaan bersama para pemain dan pegawai pasukan musim 2021 semalam.

Pemain yang berd@rah kacukan Filipina dan England itu pernah menyertai beberapa pasukan Liga Perdana Inggeris di awal karier antaranya Sunderland, Bradford dan Portsmouth.

Kemudian beliau berhijrah ke Filipina untuk menyertai Kaya FC pada tahun 2017 dan Davao Aguilas pada 2018. Pada musim 2019, beliau beraksi dalam saingan Thai League 1 bersama kelab Chainat Hornbill sebelum menyertai Pahang pada musim 2020 bagi menggantikan tempat Safuwan Baharudin.

Adam juga mempunyai 10 kaps dengan skuad kebangsaan Filipina dan pernah mewakili negara itu dalam saingan Piala Asia 2019 dan Piala Suzuki AFF pada tahun 2018.

Selain Adam Reed, UiTM FC turut mengumumkan penjaga gol import dari Croatia, Domimik Picak dan penyerang baharu dari Ghana, Nana Poku. Bekas pemain kelantan dan Lubnan, Abou Bakr El Mel akan mengisi kuota pemain import Asia manakala khidmat pemain import musim lalu, Victor Nirennold dikekalkan.

Musim ini UiTM FC turut diperkuatkan oleh 8 pemain tempatan baharu iaitu Khairul Asyraf Sahizah (Perak 2), Mohd Khairul Rizam Che Soh (Kelantan), Dirga Surdi (PDRM), Muhammad Farid Nezal (PDRM), Muhd Hardee Shamsuri (Pahang), Mohd Alif Najmi (Perak 2), Mohd Fauzi Latif (Negeri Sembilan) dan Mohd Khairul Izuan (Kelantan United).