Bekas Bintang AS Roma Bakal Bersama Kelab Liga Malaysia

Bekas pemain pertahanan kelab Serie A, AS Roma iaitu Christian Panucci dilaporkan bakal dilantik sebagai pengendali TRW Kelantan FC yang baharu.

Perkara ini dikongsikan oleh salah satu pengguna Twitter yang selalu membawa perkembangan mengenai pasukan Kelantan, @TwtBolaKelate dimana mereka menjelaskan maksud di sebalik laman media sosial rasmi Facebook pasukan yang memuat naik gambar Paolo Maldini dan Fancesco Totti baru-baru ini.

Kelantan sebelum ini berlatih tanpa kelibat ketua jurulatih apabila pengendali sebelum ini, Yusri Che Lah memutuskan untuk meninggalkan pasukan dan menyertai skuad Pojek FAM-MSN bagi saingan musim 2021.

Panucci sendiri selain mempunyai pengalaman luas sebagai pemain dimana beliau juga pernah beraksi bersama Real Madrid, pengendali berusia 47 tahun ini pernah menjadi jurulatih skuad kebangsaan dan kelab di Itali.

Antara pasukan yang pernah dikendalikan oleh Christian Panucci ialah skuad kebangsaan Albania, dua kelab Itali iaitu Ternana dan Livorno selain pernah menjadi pembantu jurulatih pasukan kebangsaan Rusia.

Kelantan kehilangan sebahagian besar pemain utama pada musim 2020 bagi menghadapi cabaran pada musim hadapan.

Kelab yang dimiliki oleh Norizam Tukiman itu bakal menggunakan khidmat pemain muda dari skuad Piala Presiden dan Belia.