Ada Sebab Tuck Pilih Pahang

Bekas kapten Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mendedahkan faktor utama dia memilih menyertai Pahang musim depan disebabkan dia pernah memasang impian untuk menyertai skuad Pahang itu sebelum ini.

Selain itu, pemain berd@rah campuran Malaysia-England berusia 32 tahun itu juga mengakui skuad Pantai Timur itu begitu serius untuk melakar kejayaan.

Justeru, pemain yang digelar Rooney Ganu itu yang sudah empat musim beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) menjelaskan keputusannya tepat dan dia akui tidak sabar memperagakan aksi bersama pasukan itu pada Februari depan.

Selepas TFC tidak berminat menyambung kontrak saya musim depan walaupun saya masih berminat menyarung jersi pasukan itu, saya mendapat beberapa tawaran pasukan Liga M dan kelab di luar negara.

Tapi saya rasa Pahang pilihan terbaik saya. Dalam minda saya skuad itu pasukan yang patut saya sertai kerana antara sebabnya kelab itu profesional dan serius untuk mencapai kejayaan.

Selain itu saya teringin mewakili Pahang ketika saya mula beraksi bersama Negeri Sembilan pada 2017 selain pernah menentang pasukan itu dalam saingan Piala FA, membuatkan saya memasang impian suatu hari nanti ingin menyarung jersi pasukan itu.

Saya rasa mampu bermain di Pahang dan pastinya akan gembira kerana tempatnya yang menarik untuk saya tinggal dan ia bonus buat keluarga saya, malah penyokong mereka juga terbaik.

Saya memandang ke depan untuk permulaan liga 2021 dan berharap dapat memberi impak yang positif kepada pasukan itu sebagaimana ketika mewakili TFC selama tiga musim, katanya kepada Sukan NSTP melalui aplikasi WhatsApp kerana dia sudah pulang ke negaranya, England Khamis lalu.

Mengulas lanjut, Tuck yang berjaya membantu TFC mara ke final Piala Malaysia pada 2018 selain layak ke pentas Asia musim depan selepas menghuni di tangga ketiga Liga Super musim ini mengesahkan dia mengikat kontrak dua tahun bersama Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Impian untuk membantu pemain muda dan membangunkan pasukan Pahang membuatkan saya menyertai selama dua tahun bersama pasukan itu kerana saya nak menjadi sebahagian dalam pasukan Pahang untuk tempoh yang panjang.

Lagipun saya berminat untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Malaysia, jika boleh menjadi pemain naturalisasi itu lebih baik kerana hanya semusim lagi untuk mencukupkan syarat selama lima tahun menjadi pemain berkenaan, katanya.