Sukan

Tidak akan lepaskan peluang ke AFC

Selepas melakar 10 kemenangan daripada 18 perlawanan, skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) mahu menamatkan baki empat perlawanan Liga Super musim ini dengan keputusan positif.

Penolong ketua pasukan, Nasrullah Haniff Johan berkata, ia bagi membolehkan pasukan itu terus kekal dalam kelompok tiga terbaik carta liga, sekali gus berpeluang beraksi dalam saingan Piala AFC 2023, musim depan.

Katanya, dia dan rakan sepasukan tidak akan melepaskan peluang itu dengan azam untuk memberikan persembahan terbaik dalam baki empat perlawanan liga.

Berdasarkan kedudukan di tempat ketiga Liga Super ketika ini, kami berpeluang untuk merebut tiket ke saingan Piala AFC musim depan.

Mengikut format, pasukan yang menduduki tempat kedua dan ketiga layak ke saingan AFC itu dengan syarat Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal menjulang kejuaraan Liga Super musim ini, sekali gus mereka akan beraksi di peringkat Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023.

“Sudah tentu saya dan rakan lain ingin mendapatkan peluang itu dan kami perlu bekerja keras mempertahankan kedudukan dalam baki empat perlawanan liga,” katanya.

Tonggak berpengalaman berusia 31 tahun itu yang membantu skuad Hobin Jang Hobin menjulang trofi Liga Perdana musim lalu berkata, mereka yakin keinginan itu boleh direalisasikan biarpun bakal berdepan cabaran getir.

Nasrullah berkata, pasukannya akan berhadapan tugas mencabar apabila menentang JDT, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Melaka United FC dan Sri Pahang FC pada baki empat perlawanan itu.

sumber:- HM

Mereka akan berkunjung ke JDT pada 1 Okober ini, disusuli dua aksi di tempat sendiri menentang KDA FC dan Melaka (7 dan 11 Oktober) sebelum bertemu Sri Pahang di tempat lawan pada 15 Oktober.