Sukan

Siapa ‘adiwira’ Pan Gon

Jika Vietnam menjadi ‘mimpi ng3ri’ buat Malaysia, namun bagi Thailand, mungkin Malaysia sebenarnya boleh dianggap sebagai ‘igauan’ buat mereka.

Tidak perlu bercerita mengenai ranking skuad negara yang jauh terkebelakang namun jika dinilai berdasarkan statistik dan rekod pertembungan terbaharu, skuad Harimau Malaya belum pernah tewas dalam lima pertembungan terakhir meliputi tempoh lapan tahun.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya tumbang di tangan skuad ‘Gajah P3rang’ adalah pada 17 Disember 2014 iaitu kekalahan 2-0 pada aksi Piala AFF, namun selepas itu segala-galanya seakan berpihak kepada skuad negara.

Dalam lima pertembungan terakhir, Malaysia menang tiga aksi dan seri dua perlawanan – mana mungkin pengendali baharu, Kim Pan Gon mahu menjadi jurulatih pertama menamatkan rekod cemerlang itu.

Sekalipun turun berdepan Gergasi ASEAN itu namun Malaysia dilihat sentiasa memiliki ‘adiwira’ yang berjaya membantu skuad negara untuk sekurang-kurangnya mengelak kekalahan di tangan pasukan yang menghuni ranking ke-111 dunia itu.

Pada 20 Disember 2014, Malaysia memiliki dua wira dalam bentuk Safiq Rahim dan Indra Putra Mahayuddin yang membantu Malaysia mendahului 3-0 pada final kedua Piala AFF sebelum dikecewakan dua gol lewat permainan untuk Thailand merangkul Piala AFF menerusi agregat 4-3.

Ketika aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2018, Syahmi Safari mel3dak gol penyamaan buat negara pada minit ke-28 sebelum jaringan penyamaan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-71 menghantar Malaysia ke final Piala AFF.

Jaringan penyamaan Norshahrul itu menyaksikan Malaysia mara ke final Piala AFF 2018 dengan agregat 2-2 selepas dibantu kegagalan penyerang Thailand, Adisark Kaisorn menyempurnakan sepakan penalti di minit akhir permainan.

Dalam dua aksi Kelayakan Piala Dunia juga, Malaysia muncul sebagai pasukan lebih baik berbanding Thailand selepas meraih kemenangan dua kali iaitu 2-1 di tempat sendiri disusuli kemenangan 1-0 di gelanggang berkecuali.

Pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, ‘hero’ negara hadir menerusi Brendan Gan dan Mohammadou Sumareh yang berjaya memadam kelebihan gol awal Thailand pada minit ketujuh yang dihasilkan Chanathip Songkrasin.

Safawi Rasid pula menyempurnakan sepakan penalti untuk jaringan kemenangan Malaysia pada aksi kedua yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beberapa senario di atas sedikit sebanyak membuktikan betapa Malaysia sentiasa mempunyai ‘jalan’ untuk mengecewakan Thailand, jadi persoalannya, adakah senario sama dapat diulangi untuk aksi Piala Raja Thailand 2022 yang akan berlangsung malam ini?

sumber:- BH

Menuju ke perlawanan di Stadium Chiang Mai itu, siapa pula wira yang akan menjelma untuk mencetus kemenangan buat Malaysia sekali gus memastikan reputasi dan air muka Pan Gon terus terjaga?