Sukan

Makin serasi bersama

Pemain pertahanan Melaka United (MU), Ahmad Haziq Puad mengharapkan momentum pasukan terbabit akan terus meningkatkan pada baki saingan liga Super selepas ini.

Baginya, keputusan seri tanpa jaringan ketika berdepan KL City di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput Khamis lalu jelas membakar semangatnya untuk memastikan pasukan terbabit mampu mengekalkan persembahan positif.

Katanya, selepas tewas tiga kali berturut-turut skuad terbabit kembali bangkit dengan prestasi membanggakan untuk meraih satu mata bertemu The City Boys.

Menurutnya, saingan berdepan KL amat sukar kerana mereka memiliki barisan pemain berkualiti berdasarkan prestasi semasa mereka menjuarai Zon Asean diikuti mengatasi pasukan dari India, Mohun Bagan di separuh akhir Antara Zon.

Malah di atas kertas skuad Hang Tuah bakal menjadi mangsa kerakusan pelawat namun kubu pasukan jelas kental menutup ruang termasuk kecemerlangan penjaga gol Melaka, Norazlan Razali.

Saya akan terus memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan selepas kerap diberi tanggungjawab membarisi empat pemain pertahanan utama pasukan.

“Malah saya akui kian serasi bersama Fadhli Shas selain turut diberi peranan bersama benteng kebal yang juga pemain import Filipina Justin Baas. Apapun saya sentiasa terus meningkatkan keupayaan dalam membaca pergerakan lawan kerana kami perlu berdepan striker terbaik Liga Malaysia,” katanya.

Pemain berasal dari Kedah berkenaan yang kini menjadi aset penting Melaka turut bertekad untuk tidak menghampakan peminat setiap kali diturunkan justeru baginya sokongan mereka amat membantu kecemerlangan pasukan terbabit.

Sehubungan itu, pengalamannya yang pernah mewakili banyak pasukan termasuk UiTM FC, Kuantan FC, Kelantan dan Felda United akan digunakan sebaik mungkin pada baki saingan liga.

sumber:- HM

Dalam pada itu, dia juga gembira kerana dapat bersama ramai pemain berpengalaman dan import terbaik dalam skuad Hang Tuah untuk melakar kejayaan lebih baik skuad itu di pentas liga Malaysia musim ini.