Sukan

Cari jurulatih berkualiti sebagai pengganti jika kehilangan Nafuzi

Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC (TFC), meletakkan harapan yang tinggi agar Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd dapat mencari jurulatih berkualiti untuk membimbing pasukan itu sekiranya pengendali, Nafuzi Zain tekad untuk ‘berpisah’ dengan skuad Penyu.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin berkata, jurulatih berwibawa dan disenangi pemain penting untuk memacu pasukan agar lebih baik dan berdaya saing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pandangan kami sebagai kelab penyokong, TFC Sdn Bhd perlu mencari ketua jurulatih yang lebih baik lagi serta pemain-pemain lebih bagus untuk membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap pada tahun depan jika Nafuzi tekad untuk berhijrah bersama pasukan lain.

Kami juga harap pengurusan TFC dapat merencana dan melakukan persiapan yang lebih awal jika ingin mencapai kejayaan yang lebih bagus pada tahun depan.

“Ini kerana jika Nafuzi meninggalkan pasukan, berkemungkinan besar akan ada beberapa pemain akan turut serta meninggalkan pasukan untuk bersama jurulatih itu,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun Mohd Isa menaruh harapan yang tinggi agar jurulatih kelahiran Kelantan berusia 44 tahun itu diberi peranan untuk menduduki kerusi itu sekurang-kurangnya setahun lagi.

Selepas tiga tahun menabur bakti sebagai ketua jurulatih TFC, Nafuzi menjelaskan berkemungkinan besar beliau akan meninggalkan TFC tahun depan untuk mencari haluan dan pengalaman baharu dalam karier kejurulatihannya.

Bagi penyokong TFC, kami melihat prestasi jurulatih itu ada banyak peningkatan berbanding sebelum ini sehinggakan berjaya membawa pasukan TFC mara ke pentas final piala FA musim ini.

Beliau juga berani membawa pemain muda untuk diserapkan dalam pasukan utama sekali gus mampu menimba pengalaman dalam saingan bola sepak di Malaysia, malah ada juga pemain TFC berjaya dipilih mewakili pasukan kebangsaan.

“Jadi pandangan kami, kekalkan Nafuzi semusim lagi bagi melihat prestasi beliau membawa pasukan ke peringkat yang lebih tinggi lagi, walaupun musim 2022 belum berakhir kami harapkan beliau kekal fokus terhadap baki saingan Liga Super serta persiapan untuk saingan Piala Malaysia,” katanya.

sumber:-HM

Minggu lalu, Nafuzi menjelaskan berkemungkinan besar musim ini adalah tahun terakhirnya membimbing pasukan TFC lebih-lebih lagi sehingga kini belum mendapat lanjutan kontrak bersama skuad itu.