Sukan

Kemenangan 1-0 sudah cukup untuk Malaysia

Tiada cara lain hanya kemenangan menjadi buruan skuad bawah 19 (B-19) tahun negara menjelang aksi terakhir men3ntang Korea Selatan dalam saingan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-20 di Stadium MFF, Ulaanbaatar di Mongolia, esok.

Jelas pengendali pasukan, Hassan Sazali Waras, biarpun menyedari kekuatan dimiliki Korea Selatan yang dilihat cukup mantap di semua bahagian, namun beliau tetap percaya skuad kendaliannya mampu melakukan sesuatu pada aksi itu nanti.

Katanya, komitmen pemain dituntut bagi mencipta kejutan ke atas lawan yang hanya memerlukan seri untuk muncul juara kumpulan berbanding skuad negara wajib menang untuk layak ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun depan.

Kita perlu memenangi perlawanan esok bagi mengesahkan pasukan layak ke peringkat seterusnya, walaupun pasukan Korea Selatan dianggap sebagai pilihan dalam kumpulan ini.

“Saya yakin pasukan akan memberi komitmen 100 peratus bagi mencapai sasaran itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Berdasarkan peluang skuad Harimau Muda negara, anak didik Hassan perlu menewaskan Korea Selatan sekurang-kurangnya 1-0 bagi mengumpul tujuh mata selepas menang 3-0 dengan Sri Lanka dan diikat Mongolia 1-1 sebelum ini.

Buat skuad Taegeuk Warriors pula, mereka hanya perlukan satu mata dengan mengikat Malaysia untuk muncul juara selepas menang dua aksi awal apabila membelasah Sri Lanka 6-0 dan Mongolia 7-0.

Mengulas tentang kemenangan ke atas Sri Lanka semalam, Hassan akui keputusan itu amat melegakan bagi membuka semula peluang buat Malaysia mengintai slot ke Piala Asia.

Malah, semangat dan motivasi pemain tampak meningkat dan pasukan akan turun bermati-matian untuk pertemuan esok.

“Alhamdulillah, dengan kemenangan ke atas Sri Lanka kembali mencerahkan laluan serta meningkatkan moral pemain bagi menghadapi perlawanan menentang Korea Selatan,” katanya.

sumber:- HM

Berdasarkan format kelayakan, hanya juara setiap kumpulan akan layak, manakala lima lagi naib juara terbaik daripada 10 kumpulan itu turut diberikan tiket ke Piala Asia tahun depan.