Sukan

Nafuzi Zain beri bayangan tidak lagi bersama pasukan musim depan

KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain memberi bayangan beliau tidak lagi akan bersama skuad Penyu untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Namun demikian, pengendali muda kelahiran Kelantan itu masih berteka-teki mengenai destinasi baharunya biarpun terdapat khabar angin kuat mengaitkan perpindahan beliau ke Selangor dan sebuah negeri di utara tanah air.

Turut menjadi persoalan ialah hala tuju pemain sayap lincah yang juga ayam tambatan TFC, Faisal Halim pada musim depan kerana beliau sebelum ini pernah mengumumkan untuk angkat kaki sekiranya Nafuzi tidak lagi mengendalikan skuad Penyu.

Menurut Nafuzi, kemungkinan besar tahun ini adalah tahun terakhirnya bersama Terengganu kerana beliau perlu mencari pengalaman serta cabaran baharu untuk mengembangkan kerjayanya.

Bagi saya mungkin ini masa yang sesuai untuk cari pengalaman dan cabaran baharu untuk kembangkan karier saya dalam dunia kejurulatihan.

“Lagipun saya belum dapat apa-apa tawaran sebagai ketua jurulatih daripada pihak pengurusan TFC Sdn Bhd. Sebagai jurulatih, saya perlu buat persediaan untuk tentukan hala tuju kerjaya saya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super yang menyaksikan Terengganu menang 3-0 ke atas Penang FC.

Beliau berkata, tempoh tujuh tahun bersama skuad Terengganu adalah waktu yang panjang menyebabkan beliau agak berat hati untuk meninggalkan bumi Darul Iman.

Menurut Nafuzi, beliau berazam untuk melaksanakan tugas sebaik mungkin demi memastikan pasukan hitam putih mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan impian bersaing di pentas Piala AFC musim depan tercapai.

“Saya sangat sayangkan Terengganu, keluarga saya juga gembira berada di sini tetapi untuk perkembangan kerjaya perlu kepada penghijrahan,” katanya.

Dalam pada itu, Nafuzi turut mengucapkan terima kasih kepada para peminat skuad Penyu yang sentiasa memberi sokongan padu tidak berbelah bahagi kepada beliau sejak dahulu lagi.

Nafuzi mula menyertai skuad Terengganu sebagai jurulatih T-Team pada 2016 sebelum dinaikkan pangkat sebagai penolong jurulatih TFC pada 2018.

sumber:-SH

Pada 2019, beliau mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih TFC daripada Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan ekoran prestasi buruk dalam Liga Super dan kekal menerajui skuad Penyu hingga ke musim ini. – Bernama.