Sukan

Luahan secara Spontan pengendali

Pengendali Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan meluahkan nada kecewa selepas anak buahnya ‘did3ra’ pemain Terengganu FC (TFC) pada aksi ke-18 Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Bekas striker kebangsaan itu menyifatkan persembahan buruk serta aksi serba tidak menjadi diperagakan anak buahnya punca pasukannya pulang tanpa sebarang mata.

Bagaimanapun katanya, beliau belum mahu mengangkat ‘bendera putih’ walaupun kini menghuni tangga tercorot liga dengan mengumpul tujuh mata, sebaliknya dengan baki empat perlawanan lagi, beliau mahu anak buahnya segera bangkit sekurang-kurangnya menamatkan saingan bukan di dasar liga.

Pada malam ini (malam tadi), kita tidak beraksi dengan permainan sebenar, pemain kita beraksi teruk dengan terlalu banyak memberi ruang kepada pasukan lawan. Inilah yang ‘mend3ra’ kita, sebab kita tidak menekan lawan dan kerap kehilangan bola.

Selain itu kedudukan terkini pasukan di tangga terbawah liga sedikit sebanyak menyaksikan motivasi para pemain sedikit menurun, banyak kelemahan ketara perlu diperbaiki seperti memberikan gol mudah terutama pada hujung babak pertama dan kedua perlawanan, tidak fokus sampai hujung permainan.

“Jadi untuk baki perlawanan, mereka perlu bangkit, lagipun kita tidak putus asa sebaliknya tetap berusaha bagi perebutan tempat lebih baik dalam saingan liga,” katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan malam tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung dalam keadaan padang basah akibat hujan lebat bermula pada minit ke-23, skuad Harimau Kumbang terpaksa akur tumpas 0-3 kepada TFC hasil jaringan pemain kelahiran Pulau Pinang, Mohd Faisal Halim dan dua lagi menerusi sentuhan tajam kapten, Kipre Tchetche.

Ketika ditanya hala tujunya selepas ini, pengendali berusia 60 tahun itu enggan mengulas lebih lanjut, sebaliknya lebih selesa untuk berahsia terlebih dahulu mengenai perancangannya musim depan.

sumber:- HM

“Kedudukan saya sebagai jurulatih musim depan belum pasti, lagipun saya mahu tumpukan terlebih dahulu membantu Penang FC dalam pentas Liga Malaysia (Liga M),” katanya yang mengambil alih tugas ketua jurulatih skuad itu pada awal Jun lalu menggantikan jurulatih kelahiran Republik Czech, Tomas Trucha.