Sukan

Penyokong semakin kebingungan selepas pendedahan pemain

Nampaknya peminat bola sepak tanahair terutama penyokong Sarawak United kebingungan selepas seorang pemain kelab itu mengakui tunggakan gaji belum dijelaskan sepenuhnya oleh pengurusan pasukan.

Menerusi pendedahan dibuat tonggak pertahanan Sarawak United, Raja Imran Shah di laman story Instagram miliknya mengakui tunggakan gaji selama empat bulan itu tidak dibayar habis.

“Tak ‘settle full’ pun?,” tulis Raja Imran sekali gus mempertikaikan kenyataan media Sarawak United yang kononnya sudah melunaskan tunggakan gaji pegawai dan pemain pasukan terbabit empat hari lalu.

Berdasarkan kenyataan media kelab itu pada Jumaat lalu, Presidennya Datuk Posa Majais mengesahkan sudah membayar tunggakan gaji pemain.

Sarawak United telah melunaskan tunggakan gaji pegawai dan pemain dengan jayanya. Selamat maju jaya kepada pasukan SUFC (Sarawak United FC). Sekian terima kasih, kata Posa.

Begitupun dengan pendedahan Raja Imran itu menjelaskan, bahawa sebenarnya tunggakan empat bulan itu tidak diselesaikan secara penuh dan timbul persoalan berapakah sebenarnya jumlah yang dibayar serta berapa baki tunggakan masih tinggal.

Sebagai rekod, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan menerima laporan mengenai tunggakan gaji selama empat bulan membabitkan pemain Sarawak United sehingga ada pemain dihalau dari tempat tinggal.

Menerusi satu kenyataan media, PFAM mengakui sudah mengeluarkan dua notis kepada Sarawak United.

Jelas PFAM, walaupun ada pergerakan pembayaran dilakukan, ia tidak dibayar secara penuh seperti mana nilai yang dijanjikan dalam kontrak setiap pemain.

sumber:- HM

Malah, Penaung Diraja PFAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menegur pengurusan Sarawak United di laman sosial supaya segera menyelesaikan tunggakan berkenaan.