Sukan

Petanda buat JDT

Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA boleh dianggap sebagai petanda bahawa Harimau Selatan bakal menyapu bersih semua trofi dalam kancah Liga Malaysia musim ini.

Kekalahan Sabah di tangan Selangor dalam aksi Liga Super, kelmarin turut menyaksikan trofi liga utama itu hampir pasti akan terus kekal bersama Harimau Selatan buat kali kesembilan berturut-turut sejak 2014.

JDT kini mendahului Sabah enam mata di kedudukan teratas liga dan masih berbaki enam perlawanan berbanding skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang hanya memiliki empat perlawanan sahaja lagi.

Secara matematiknya, JDT hanya perlukan empat lagi kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super dan berdasarkan prestasi semasa dipamerkan Harimau Selatan, tidak nampak tanda-tanda pasukan lain boleh merampas takhta itu dari mereka musim ini.

Malah, anak buah Hector Bidoglio mungkin boleh mengesahkan kejuaraan lebih awal sekiranya Sabah terus tercicir mata penting dalam baki empat perlawanan mereka.

Pada pandangan mata kasar, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa JDT kini sebenarnya sudah boleh merencanakan persiapan terbaik untuk mengintai gelaran Piala Malaysia dan melengkapkan kejuaraan ‘treble’.

Seandainya berjaya merangkul trofi Liga Super dan Piala Malaysia, Harimau Selatan bukan sahaja bakal merangkul kejuaraan ‘treble’ mereka buat kali pertama, malah turut menjadi pasukan pertama yang menyapu bersih empat piala dalam satu musim termasuk Piala Sultan Ahmad Shah.

Skuad 2022 adalah skuad terbaik yang pernah dimiliki JDT dengan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang musim ini dan kemenangan 3-1 ke atas Terengganu (TFC) di pentas final Piala FA, kelmarin menjadi bukti bahawa prestasi Harimau Selatan sukar digugat.

Kualiti tinggi pemain di semua posisi dilihat menjadi perbezaan antara JDT dan TFC pada aksi final itu dengan skuad Harimau Selatan lebih efektif sama ada ketika meny3rang mahu pun semasa bertahan.

Paling ketara adalah ‘enjin’ bahagian tengah skuad Bidoglio berfungsi lebih baik berbanding TFC dan elemen itu yang membolehkan JDT muncul juara kerana adanya hantaran ‘membvnuh’ yang berjaya memecahkan benteng skuad Penyu.

Bidoglio boleh dianggap sebagai individu paling bertuah kerana dia hadir ke JDT pada pertengahan musim dengan skuad serba lengkap sudah tersedia, malah pengendali dari Argentina itu juga berpotensi muncul jurulatih Harimau Selatan yang pertama merangkul kejuaraan treble.

sumber:- BH

Dia juga boleh meraih pencapaian lebih manis sekiranya JDT berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua pertandingan di liga tempatan dan meraih gelaran ‘The Invincibles’ bagi musim ini.