Sukan

Momentum AFC KL City tumbangkan Sri Pahang

Kuala Lumpur City FC (KL City) mempamerkan persembahan meyakinkan selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Biarpun diuji dengan percubaan berbahaya oleh David Rowley ketika perlawanan berlangsung 30 saat, pelawat jelas tampil bertenaga.

Pada perlawanan itu, Rowley hampir menjaringkan gol pendahuluan sebaik perlawanan bermula tetapi bola sepakan pemain tengah itu berjaya ditangkap penjaga gol KL City, Kevin Mendoza.

Selepas itu tiada lagi percubaan yang berbahaya dilakukan pemain tuan rumah dalam usaha mendalului pasukan lawan.

Sebaliknya, KL City yang memberikan tekanan apabila hampir berpeluang menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan Muhammad Haqimi Azim Rosli tetapi bola tendangan striker muda itu diselamatkan penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa pada minit ke-16.

Pada minit ke-27, pemain import lawan, Rolel Morales turut berpeluang untuk membolosi gawang tetapi gagal diterjemahkan.

Namun, tiga minit kemudian, Muhammad Haqimi Azim menebus kehampaan apabika menjaringkan gol pendahuluan untuk memastikan KL City selesa di hadapan.

Ketinggalan 0-1, Sri Pahang berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi terpaksa akur keputusan itu kekal sebaik tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang memiliki peluang terutama menerusi rembatan Manuel Hidalgo dari luar kotak penalti tetapi bola tersasar di sebelah kanan gawang KL City pada minit ke-61.

Pada minit ke-72, KL City berjaya menambah gol kedua hasil sentuhan kapten pasukan, Zhafri Yahya yang menewaskan Samassa buat kali kedua.

sumer:- HM

Tidak mahu terlepas mata, Sri Pahang berusaha untuk menjaringkan gol namun segalanya serba tidak menjadi dan terpaksa akur tewas di halaman sendiri.