Sukan

Komen balas padu daripada Sanusi

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Piala FA selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Namun ucapan tahniah yang diberikan Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah itu dianggap ‘tajam’ kerana dilihat seakan menyindir skuad Harimau Selatan yang diperkasa dengan ramai pemain naturalisasi dalam kesebelasan utamanya.

“Tahniah JDT menang Piala FA semalam..sayangnya pemain JDT tak pandai cakap Johor,” kata Sanusi menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Hantaran itu bagaimanapun menyebabkan Sanusi ‘dis3rang’ pelayar Internet, namun ada juga yang mengambil kesempatan ‘menangguk di air yang keruh’ dengan turut sama menyindir juara Liga Super lapan kali itu.

Terdahulu, Sanusi mendapat ‘hadiah’ istimewa apabila striker Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri mendedikasikan kejayaan menjulang Piala FA kepada dirinya.

Menerusi hantaran pada akaun Instagramnya, bekas peny3rang Udinese itu turut mengucapkan terima kasih kepada Sanusi atas ‘sokongan’ yang diberikan sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan berjaya menjulang Piala FA buat kali kedua.

 

“Ini untuk sahabat, Muhammad Sanusi Md Nor. Terima kasih atas sokongan ada. Nikmati piala ini,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial klip video berdurasi 21 saat memaparkan Muhammad Sanusi menggayakan jersi TFC dalam satu majlis menjelang aksi final Piala FA.

 

sumber:- BH

Klip video itu kemudiannya mengundang pelbagai reaksi daripada netizen namun Sanusi menyatakan sokongan diberikan itu adalah kerana isterinya berasal dari negeri Pantai Timur itu.