Sukan

Kim Swee luah kekecewaan punca Sabah FC kecundang

Sabah FC sekali lagi berdepan situasi bolos awal sehingga mengundang padah yang menyaksikan ia tewas 3-2 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.

Skuad Sang Badak berdepan situasi itu sejak beberapa perlawanan sebelum ini namun bernasib baik dapat mengejar dan menyamakan kedudukan atau mencipta kemenangan pada minit akhir.

Bagaimanapun, berbeza dengan aksi malam tadi, pemain Sabah FC gagal mencipta gol penyamaan apabila Selangor mendapat gol ketiga pada minit ke-75 selepas terikat 2-2 bermula minit ke-40 permainan.

Pengendali skuad Sang Badak, Datuk Ong Kim Swee yang nyata kecewa dengan keadaan itu, berkata faktor keletihan menjadi punca anak buahnya gagal menyamakan kedudukan hingga akhirnya tewas di tangan Selangor.

Selepas kita ketinggalan dua gol seperti perlawanan lepas, kita harus mengejar untuk mendapatkan gol. Kita memerlukan banyak tenaga di mana mereka cuba untuk menyerang dan bertahan.

“Apabila separuh masa kedua, kita keletihan sedikit. Kita cipta peluang tapi tidak disempurnakan dan kita hilang tumpuan. Kita terpaksa mengejar lagi, namun kali ini kita tidak dapat gol penyamaan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi malam tadi, Sabah mula ketinggalan pada minit ke-23 kepada Selangor menerusi jaringan Mukhairi Ajmal, disusuli gol kedua seminit kemudian hasil rembatan Brendan Gan.

Kapten Sabah, Baddrol Bakhtiar kemudiannya merapatkan jurang pada minit ke-29, diikuti gol penyamaan 2-2 oleh pemain import Sabah, Jose Embalo pada minit ke-40.

Bagaimanapun, kedudukan yang terikat 2-2 itu berubah pada minit ke-75 selepas pemain import Selangor, Hein Htet berjaya merembat jaringan, sekali gus membolehkan Selangor kembali di depan dengan 3-2.

Kim Swee turut mengakui Sabah FC hilang tumpuan di bahagian pertahanan menyebabkan gawangnya mudah dibolosi, selain banyak peluang gagal disempurnakan dengan baik dan akhirnya terpaksa berdepan kekalahan.

Mengenai Embalo, Kim Swee berharap jaringan pertamanya malam tadi dapat memberi keyakinan kepada penyerang baharu Sang Badak itu untuk mengharungi baki empat lagi perlawanan Liga Super.

Embalo sebelum ini dikritik penyokong Sabah kerana aksinya kurang menonjol.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor FC, Mohd Nidzam Jamil, berkata Selangor dan Sabah mempunyai strategi permainan masing-masing, namun mengakui pasukannya bertuah dapat memenangi perlawanan malam tadi.

Katanya, momentum perlawanan bermula dengan seri ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini akan diteruskan.

sumber:- BH

Jelasnya, mengekalkan sikap dan mentaliti yang sama pada setiap minggu dan latihan menjadi cabaran utama dalam usaha pasukan itu mengekalkan tahap yang baik pada setiap perlawanan.