Sukan

JDT mahu lakar sejarah dan ikut jejak Kelantan FC, KDA FC

Kejayaan menjulang Piala FA 2022 bakal membuka jalan untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah baru bola sepak tanah air iaitu memenangi empat kejuaraan dalam satu musim.

Hal ini kerana, hanya pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Kelantan FC sahaja yang pernah mencatat gelaran treble pada kempen Liga M dengan menjulang trofi Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia pada tahun yang sama.

Namun, jika JDT berjaya menjulang trofi Liga Super dan Piala Malaysia kelak, mereka akan menjadi pasukan pertama dalam sejarah yang merangkul empat trofi apabila turut menjuarai saingan Piala Sumbangsih awal tahun ini.

Menurut pengendali JDT, Hector Bidoglio barisan anak buahnya menunjukkan prestasi cemerlang pada musim ini terutama berjaya mendominasi saingan final Piala FA sekali gus menjulang trofi kedua musim ini.

Kata Bidoglio, sasaran pasukan selepas ini adalah tertumpu kepada baki saingan Liga Super sebelum fokus terakhir adalah untuk bersaing pada kempen Piala Malaysia yang dijadualkan bermula Oktober depan.

Ini adalah keputusan yang cukup positif kerana ia melonjakkan lagi semangat pemain untuk mengharungi baki saingan ini dengan cemerlang. Kita sudah mendapat trofi Piala FA yang diidamkan.

Selepas ini fokus terarah untuk meraih gelaran Liga Super yang semakin berada di penghujung saingan sebelum memberi tumpuan kepada kempen Piala Malaysia.

“Saya mahu pemain tidak berpuas hati dengan kejayaan semasa dan terus bekerja keras untuk merealisasikan impian membolot semua kejuaraan Liga M musim ini,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

sumber:- HM

Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin, JDT melakar kemenangan hasil dua gol ledakan Bergson Da Silva dan satu jaringan sumbangan Arif Aiman Hanapi manakala gol saguhati TFC dilakukan oleh Kipre Tchetche